Monday, August 24, 2009
MAKKAH Al-Mukarramah adalah kota suci turunnya wahyu llahi kepada Nabi Muhammad S. A. W. Di sini, terletaknya Masjidil Haram dan Kaabah yang menjadi tanda kebesaran Allah. Makkah adalah kota paling suci di bumi ini serta paling dicintai Allah dan rasul-Nya. Ia juga menjadi tanah kelahiran Nabi Muhammad dan pusat terpancarnya nur Allah di bumi ini.
Abdullah bin `Adi bin Al-Hamra meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, maksudnya: "Demi Allah! Kamu (wahai Makkah) adalah tanah Allah yang terbaik dan yang sangat dicintai oleh-Nya. Andai kata aku tidak diusir dari kamu, aku tak akan berpisah (daripada kamu)." (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Tirmidhi).
Ibn `Abbas pula berkata: Rasulullah bersabda: "Betapa tempat yang indahnya kamu! Kamu adalah tempat yang paling aku cintai! Sekiranya orangku tidak mengusirku daripadamu, aku tak akan berpisah (dari sini)untuk hidup di satu tempat yang lain."
Al-Quran secara khusus, berkali-kali menyebut kota ini dengan pelbagai nama yang berjumlah sebelas semuanya. Antaranya adalah Makkah, Bakkah, Al-Baladul Amin, Al-Haramul Amin, Ummul Qura dan Al-Baldah Al-Tayyibah.
Bahkan, Allah bersumpah dengan kota suci ini serta memberikan kelebihan dan keistimewaan besar, yang tidak diberikan kepada kota lain. Masjidil Haram dan Kaabah Baitul Atiq yang menjadi kiblat umat Islam sedunia, menjadikan kota suci ini sangat dicintai dan berpengaruh besar bagi umat Islam sepanjang masa.
Setiap umat Islam menghadapkan muka ke arah kiblat sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam.
Ia menjadi tempat untuk seluruh kaum Muslimin sedunia menunaikan haji dan umrah.
Di pinggir Kota Makkah, iaitu di Jabal Nur, turunnya wahyu llahi yang pertama iaitu Surah Al-Alaq.
Di sini juga menjadi tempat Nabi Muhammad menyendiri dan beribadat kepada Allah.
Selepas itu wahyu turun berturut-turut kepada Nabi Muhammad melalui Jibril hingga ayat suci al-Quran yang turun di kota ini dinamakan ayat Makkiyyah, manakala yang turun di Madinah dinamakan ayat Madaniyyah.
Di permukaan kota inilah bermulanya perjuangan menegakkan agama Allah yang suci. Pejuang dan pemuka Islam yang pertama, bergerak menghadapi ajaran sesat yang berkembang kukuh di kalangan penduduk Musyrikin Makkah pada masa itu. Patung dan berhala dipuja dan disembah.
Di kota inilah Nabi dan sahabat dimusuhi serta disingkir hingga terpaksa meminggirkan diri daripada masyarakat.
Mereka terkepung di lereng gunung dekat Syiib Amir. Di sinilah, sahabat Nabi, pejuang Islam yang pertama, menerima pelbagai seksaan tubuh dan mental. Namun mereka terus bersabar sehingga Allah memberi kemenangan gemilang kepada mereka mengalahkan kaum Musyrikin.
Kehebatan dan keagungan kota Makkah bukan sekadar catatan dalam sejarah Islam dan melalui firman Allah dan hadis semata-mata, malah dibuktikan melalui kajian dan penyelidikan saintifik.
Hal ini dibuktikan oleh profesor dari Mesir, Prof Hosien Kamal El Din Ibrahim yang mencuba satu kaedah baru bagi menentukan arah kiblat dari seluruh penjuru dunia.
Beliau banyak menerbitkan artikel saintifik di bidang kejuruteraan awam. Untuk itu beliau melukis peta dunia yang baru yang dapat menunjukkan arah Makkah dari kota lain di dunia.
Dengan menggunakan perkiraan matematik dan kaedah spherical triangle, Hosien mendapati kedudukan Makkah betul-betul berada di tengah-tengah bumi.
Penyelidikan beliau ini membuktikan bahawa bumi ini berkembang dari Makkah. Jelasnya, Makkah adalah pusat bumi. Penyelidikyang lain kemudiannya mengakui ketepatan kiraan beliau apabila mereka menggunakan program komputer bagi membuat kiraan dan melukis peta itu. Sebelum itu, Abi Fadlallah Al-Emary yang meninggal dunia pada tahun 749 Hijrah, turut melukis peta yang menentukan arah kiblat.
Peta itu terkandung dalam kitabnya Masalik Al Absar Fi Mciinalik Al Amsar. Beliau menggunakan kaedah astronomi bagi menentukan arah kiblat.
Seorang lagi pemikir Islam, Al-Safaksy (meninggal dunia tahun 958 hijrah) turut melukis peta dengan menggunakan pendekatan astronomi.
Penyelidik kemudiannya mengkaji kedua-dua peta itu dan membandingkannya dengan kaedah astrologi moden. Mereka mendapati kaedah yang digunakan oleh Al-Emary dan Al-Safaksy adalah sangat tepat.
Selepas dibandingkan dengan kaedah moden, kedua-dua peta itu membuktikan Makkah dan Kaabah adalah `pusat bumi'.
Hasil kajian ini diakui benar dan diisytiharkan oleh The Egyptian Scholars of The Sun and Space Research Center yang berpusat di Kaherah.
BH - 21 December 2004 / 9 Zulkaedah 1425