Wednesday, January 13, 2010

9W2ZMR
SEBAHAGIAN daripada lebih 2,000 orang keluar dari Istana Balai Besar
selepas majlis taklimat Istana Kelantan mengenai perundangan negeri, semalam


Siri pertemuan beri penerangan mengenai kemelut institusi diraja Kelantan

KOTA BHARU: Istana Kelantan mula mengadakan siri pertemuan dengan rakyat bagi memberi penerangan dan gambaran jelas mengenai kemelut membabitkan institusi diraja negeri ini. Perjumpaan pertama diadakan dengan lebih 2,000 kakitangan kerajaan, termasuk imam serta penghulu di Istana Balai Besar di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.
Majlis itu bermula dengan taklimat yang disampaikan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, diikuti Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias serta Exco kerajaan negeri. Taklimat yang berakhir kira-kira jam 4 petang itu, turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Abd Rahim Hanafi. Dalam ucapannya, Abdul Halim mengingatkan rakyat Kelantan supaya tidak bercakap hal berkaitan istana di kedai kopi tanpa memahami secara mendalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, pemahaman undang-undang itu penting bagi membolehkan rakyat memahami keadaan semasa dalam institusi diraja, sekali gus mengelak salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian yang selama ini aman di bawah pemerintahan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra. "Tidak elok bercakap mengenai istana di kedai kopi. Jangan cakap sebarangan untuk mencari publisiti murahan serta mengambil kesempatan mencari populariti secara menyinggung perasaan orang lain.
"Pemerintahan Kesultanan Kelantan sudah melalui beberapa proses pemodenan dan antara yang terpenting ialah kewujudan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, yang membuktikan kesedaran undang-undang dan peraturan bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta pemerintahan. "Akibat segelintir rakyat tidak memahami dengan mendalam mengenai undang-undang ini, ia mengundang tindakan yang tidak sepatutnya berlaku, yang memberi kesan terhadap keharmonian negeri ini," katanya.
Minggu lalu, Abdul Halim dalam kenyataannya menjelaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan tidak memberi sebarang kuasa kepada Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, campur tangan dalam urusan istana dan kerajaan negeri seperti kuasa dimiliki Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra. Kenyataan itu, sekali gus menafikan peranan Tengku Temenggong yang mendakwa mendapat perkenan Sultan Kelantan untuk bertindak bagi pihak baginda yang menjalani rawatan di Singapura.
Tahun lalu, Tengku Temenggong turut mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris yang juga kekanda sulungnya, kerana membatalkan keahliannya dalam Majlis Perajaan Negeri. Sementara itu, Mohd Aiseri dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri akan memberi penerangan mengenai isu semasa dalam negeri kepada kakitangan kerajaan dari semasa ke semasa. "Ini bagi mengelakkan kekeliruan disebabkan oleh unsur yang tidak bertanggungjawab sehingga timbul keadaan tidak diingini di negeri ini. "Oleh itu, saya meminta kakitangan kerajaan negeri supaya berinteraksi di kalangan mereka secara manfaat dengan menumpukan kepada perkara yang mustahak saja," katanya.
Imam Mukim Kedondong Pasir Mas, Wahid Hassan, 45, yang ditemui selepas majlis itu pula berkata taklimat itu membuka pemikiran rakyat mengenai keadaan sebenar dalam institusi diraja negeri ini. "Maklumat mengenai keadaan sebenar dalam negeri sekarang akan disampaikan kepada anak mukim," katanya yang menerima jemputan menghadiri taklimat menerusi Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
Pekerja am, Nazri Yusof, 33, berkata usaha Pejabat Sultan Kelantan mengadakan taklimat itu boleh menjernihkan kembali keadaan di negeri ini. Beliau yang mendapat arahan daripada ketua jabatan bagi mengikuti taklimat itu, mengakui ramai tidak tahu mengenai perundangan tubuh kerajaan negeri dan penerangan berhubung isu itu sedikit sebanyak dapat memberi mereka gambaran mengenai perkara sebenar.
sumber:berita Harian online

0 Comments:

Post a Comment